Friday, January 12, 2007

Di Bawah Bayangan Al-Quran

Mukaddimah Kitab Tafsir Fizilallil Quran :

Hidup di bawah bayangan al-Quran adalah suatu kenikmatan yang
tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu kenikmatan yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang telah mengurniakan kepadaku kenikmatan hidup di bawah bayangan al-Qur’an selama beberapa waktu, di mana aku telah mengecapi nikmat yang tidak pernah aku kecapi sepanjang hidupku, iaitu nikmat yang meluhur, memberkati dan membersihkan usiaku.

Aku hidup seolah-olah mendengar Allah bercakap kepadaku dengan al-Quran ini… ya Dia bercakap kepadaku seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini? Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi dari keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab suci ini? Manakah darjah kemuliaan bagi seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Pencipta Yang Maha Mulia?

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat jahiliyah berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliyah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seorang?

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku dapat menikmati kefahaman yang sempurna dan meliputi, tanggapan yang tinggi dan bersih terhadap alam al-wujud, terhadap matlamat seluruh alam al-wujud dan terhadap matlamat kewujudan manusia itu sendiri. Kemudian aku bandingkan dengan kefahaman-kefahaman dan tanggapan jahiliyah yang dihayati oleh umat manusia di Timur dan di Barat, di Utara dan di Selatan. Kemudian aku bertanya: Mengapa manusia sanggup hidup dalam paya yang busuk, di tahap yang amat rendah dan di dalam gelap gelita kesesatan yang menghitam itu, sedangkan mereka mempunyai padang-padang yang bersih, tempat-tempat yang tinggi dan cahaya yang terang benderang?

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an, dan di sana aku dapat merasa adanya keseimbangan yang indah di antara harakat manusia seperti yang dikehendaki Allah dengan harakat alam buana yang diciptakan Allah. Kemudian aku melihat keadaan simpang-siur yang dialami oleh umat manusia yang telah menyimpang dan undang-undang alam buana, juga melihat percanggahan di antara pengajaran-pengajaran yang merosak dan jahat yang diajarkan kepada mereka dengan fitrah semulajadi mereka, lalu aku berkata di dalam hatiku: Manakah syaitan yang jahat yang telah memimpin umat manusia ke Neraka ini?

Alangkah ruginya manusia!

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku melihat alam al-wujud ini adalah jauh lebih besar dari saiznya yang lahir yang dapat dilihat itu. Ia lebih besar dari segi hakikatnya dan dari segi bilangan aspek-aspeknya. Ia mencakup alam ghaib dan alam syahadah kedua-dua sekali bukannya alam syahadah sahaja. Ia merangkumi dunia dan Akhirat kedua-dua sekali bukannya dunia ini sahaja. Dan kewujudan manusia adalah bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh itu. Maut bukannya penghabisan perjalanan hidup manusia, malah ia merupakan suatu peringkat perjalanan di tengah jalan. Segala sesuatu yang dicapai oleh seseorang di dunia ini bukanlah merupakan seluruh habuannya, malah hanya merupakan sebahagian dari habuannya sahaja. Segala balasan yang terluput di dunia ini tidak akan terluput di Akhirat nanti. Di sana balasan tidak akan mengalami penganiayaan, pengurangan dan kesesiaan. Peringkat perjalanan yang dilalui manusia di bumi ini merupakan peringkat perjalanan di sebuah alam hidup yang lumrah, sebuah alam sahabat yang mesra dan sebuah alam yang mempunyai roh yang sentiasa menerima, menyambut dan ia bertawajjuh kepada Allah Pencipta Yang Maha Esa sebagaimana roh orang yang beriman bertawajjuh kepada-Nya dengan penuh khusyu’. [As-syahid Syed Qutb]

___________________________________

Fi zhilalil Quran [Di bawah bayangan Al-quran] telah ditulis oleh As-syahid Syed Qutb ketika berada dalam tahanan. Dia menghayati Al-quran sehingga Al-quran sebati di dalam dirinya. Sepanjang tempohnya dipenjara, beliau sempat menyebarkan dakwah islam dikalangan banduan2..ada dikalangan mereka yang akhirnya menjadi aktivitis islam. Gagasan pemikirannya sentiasa baru dan bersemangat dengan kesedaran yang sangat halus terhadap islam. As-syahid dihukum gantung kerana dituduh menentang kerajaan Mesir. Beliau adalah Mujaddid tafsir mutaakhirin..Al-Fatihah...

No comments: