Friday, December 29, 2006

Dakwah & Cinta (3)

Ya Akhie …!

Cukuplah bagiku satu kegembiraan yang besar, kebahagiaan yang tidak terperi, kemeriahan yang mendalam di mana seluruh dunia tidak dapat membuatnya. Cita-cita ku yang paling ku rindui, itu kelihatan jauh diufuk sana ialah aku ingin melihatmu sebagai seorang tentera yang benar didalam barisan tentera dakwah ini.. Wahai Tuhanku…! Kau Amatlah Maha Mengetahui betapa besarnya cita-citaku terhadap saudara-saudaraku. Berikanlah kami kebahagiaan dengan menjadikan mereka angkatan lelaki dakwah (rijaluddakwah) dan tentera aqidah yang mendukung amanah dan menyampaikan risalah. Sesungguhnya perasaan dan cinta kepada saudara-saudaraku adalah melebihi segala perasaan dan cinta. Alangkah perlunya hati-hati yang hilang, sia-sia dan sesat merasai apa yang kita rasakan ini supaya dia kembali semula menhadap kepada Allah swt.

Ya Ikhwani..!

Sesungguhnya kamu berada tatkala dakwah ini menunggu-nunggu kemunculan kamu yang berkat, supaya kamu menjadi pelupur yang beriman. Dengan kehadiranmu, Allah memuliakan agama ini dan denganmu juga ,Allah menrealisasikan cita-cita muslim. Lihatlah betapa airmataku mengalir dari kelopak mataku lantaran terlalu suka disebabkan limpah kurnia yang diberikan Allah kepada kita berupa sambutan baik dan hangat dari hati-hati yang suci terhadap dakwah. Kamulah menjadi mata-mata dan hati-hati kami kerana didalam diri kamulah terletaknya perbendaharaan dakwah kami.

Al Islam itu adalah citarasa, Al Islam itu adalah kesetiaan, Al Islam itu adalah perasaan dan sentimen. Agama ini bermuamalah dengan jiwa dan hati manusia. Agama ini tidak bermula dengan mempergunakan kekekuatan anggota kekuatan badan, dan tidak dengan kata-kata yang kasar, bukan juga dengan mengajak bertengkar dan mencabar, akan tetapi bermula dengan kata-kata yang baik dan pandangan yang pengasih.

Ya Akhie..!

Janganlah kamu lupakan bahawa bagimu ada saudara-saudara, maka berusahalah memenangi hati-hati mereka dan berlemah lembutlah dengan mereka dan persatukanlah hati-hati itu dengan ithar , sabar dan cinta. Disini aku menjelaskan beberapa perkara kepada kamu: Aku berkata kepadamu

“Bahawasanya dakwah itu memerlukan persediaan yang mencukupi, kemudian memerlukan pembentangan yang ikhlas dan disertai dengan kemesraan terhadap orang yang diseru”

Ingin juga ku bentangkan kepada kamu satu permasalahan yang biasa berlaku, tetapi penting iaitu janganlah gopoh dalam memulakan suatu bicara dengan sebarang individu. Janganlah memulakan pembicaraan yang lengkap sebelum mereka mesra dengan kamu, mencintai kamu dan mempercayai kamu.

Antara wasilah di dalam dakwah adalah, kamu memasuki hati manusia dengan lemah lembut. Kamu mendekatinya selangkah demi selangkah walaupun mengambil masa yang lama kerana yang penting disini ialah kamu sampai kepada tujuannya. Apabila kita berjaya menawan hatinya ini, secara automatik akal akan menyahut dan luruslah jalannya. Jika kamu telah berjaya menawan hati manusia pada pertemuan yang pertama itu, disamping itu kamu dapat pula menyalakan dakwah kamu kepadanya, janganlah kamu cuaikan.Yang penting pada kesudahannya, kamu mesti berada didalam gerakan (harakah) dan suasana dakwah yang berterusan kerana orang yang sentiasa bergerak memperolehi berkat, amal dan sentiasa berkembang disetiap langkahnya. Mereka yang hidup tanpa harakah, dakwah adalah hidup seperti bangkai, dia wujud tetapi seperti tiada dan tidak mempunyai bekas dan kesan.

Ya Akhie al Muslim…!

Wahai putera Islam…! Angkatlah bendera Islam.Wahai putera Islam yang diharapkan mencapai kemuliaan yang teguh, wahai putera Islam yang ditunggu-tunggu menjadi sumber kebaikan Islam, kemuliaan dan kehidupan, dimana kamu sekarang…! Marilah, sambutlah harapan yang di cita-citakan ini. Jadilah kamu hamba Allah yang sujud, yang ruku’, yang berzikir yang membaca. Bulatkan tenaga dan kemahuanmu, belajarlah dan kuatkanlah keazamanmu untuk menjadi tentera Allah yang ikhlas. Aku menyerumu dengan sepenuh cintaku kepadamu, supaya kamu bercita-cita dan terus berusaha untuk mengrealisasikan dan beramal kerananya. Tidak ada cita-cita yang lebih besar kepada Islam dan tidak ada permulaan dan kesudahannya yang lebih mulia daripadanya.
_______________________________
sudah bertahun lama kita tidak lagi bersua..hanya tinggal kenangan yang tak mungkin kita lupa..kirimkan khabar selalu..

pantas masa berlalu......

Monday, December 25, 2006

Dakwah & Cinta (2)

RISALAH PERTAMA

Ya Akhie Fillah…!

Ketahuilah…! Orang yang paling ku cintai di dalam diriku ialah orang yang ku lihat dengan hatiku di mana hati itu adalah perbendaharaan rahmat, cinta dan kehidupan. Inilah wasiatku yang pertama buat kamu. Jadilah kamu satu penjelmaan untuk kebaikan, untuk perasaan, untuk sifat malu dan untuk keindahan. Sifat malu berkuasa menawan hati dan keindahan berkuasa menawan akal. Keindahan yang ku maksudkan disini ialah tampak jelasnya sinar jiwa tergambar pada keserian wajah.

Ya Akhie …!

Alam ini memerlukan kepada hati, perasaan dan sentimen. Jadilah kamu sebagai hati kepada alam ini dan hidupkanlah dia dengan perasaan dan sentimen kamu. Sesungguhnya manusia itu adalah hati, ruh dan perasaan. Sesungguhnya perasaan itu, adalah denyutan, kesedaran dan kehidupan di mana mesti di ikat dengan usul syari’ah. Orang-orang yang berkira bicara dengan perasaan jahiliyah, tidak akan berdiri di atas tapak yang sama dengan perasaan yang bersih dan suci, yang menjadi rahsia hidup seorang muslim dan itulah rahsia keujudan rohaninya. Sesungguhnya Imam Hassan Al banna mengetahui hakikat ini didalam kata-katanya :

“Wahai saudara…! Kekanglah urusan perasaan dengan pandangan akal dan sinarilah pandangan akal dengan nyalaan perasaan.”

Sesungguhnya perasaan saudara yang Muslim di ikat dan di pagari dengan taqwa Allah azza wajalla. Tingkap yang terbesar daripada ucapan ini: “Aku mencintai anda kerana Allah”. Inilah perasaan persaudaraan dan cinta pada Allah menjadi sebesar-besar bekalan di hadapan arus kebendaan yang melanda. Itulah juga makanan bagi perasaan yang kelaparan yang menimpa banyak hati-hati.

Wahai Muslim yang berjiwa besar…!

Penuhilah dunia ini dengan limpahan kasih sayangmu. Khusus buat saudara-saudaramu yang muslimin itu dengan kepanasan cintamu yang maha tinggi dan biarkanlah mereka tahu bahawa anda mencintai mereka Yang demikian itulah merupakan al aksir (batu geliga) untuk mengubati seribu satu kesulitan dan kesusahan Sesungguhnya banyak kesulitan di dalam dunia ini timbul dari perasaan yang telah padam dan berlakunya penyelewengan perasaan ini.

Ya Akhie..!

Sesungguhnya para pendukung dakwah Allah swt kepada manusia, dia mestilah berada dipuncak kebersihan.Allah swt itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik. Dakwah yang ku cita-citakan ku harap daripada mu di masa akan datang, memerlukan kebersihan hatimu. Supaya hatimu dapat memberi dan menerima, bersabar dan bertahan didalam kesabaran, mudah mengampunkan dan bertoleransi, sanggup turun merendah diri ketaraf golongan yang lemah dan sanggup pula membawa mereka ke taraf orang-orang yang kuat, menghampiri manusia dengan perlahan-lahan supaya mereka tidak lari dan tidak membicarakan hak-hak orang lain kecuali dengan baik kerana anda mencari mereka untuk dakwah. Semuanya itu anak kuncinya adalah kebersihan hati. Inilah rahsia kejayaan.

Wahai sahabatku..!

Sesungguhnya kita ini tidak lama lagi akan berangkat dari dunia, oleh itu kita suka mengucapkan selamat tinggal kepada kehidupan ini, apabila kita menumpangkan dakwah ini (menyerahkannya) kepada para pemuda yang bersih hatinya. Allah swt mengetahui bahawa sesungguhnya apabila kita mencintai dunia ini maka sesungguhnya kita mencintainya kerana dakwah Allah swt. Sesungguhnya aku merasa bahagia dan kebahagiaan ku itu lahir dari aqidahku. Sebenarnya aqidah inilah yang menyatupadukan kita diatasnya. Lantaran itu sapulah hati-hati itu dengan tangan kamu supaya ia kembali mekar seperti bunga. Aku akan pancarkan mata air kebaikan didalam hatimu dengan limpah kurnia dari Allah swt . Hendaklah kita menunjukkan hati kita kepada hati-hati manusia apabila kita sudah merasakan bahawa kita benar-benar yakin dan ikhlas. Kerana Allah tidak akan menerima amal-amal jika kedapatan unsur-unsur syirik samada dari kita atau orang lain.
____________________________
tawanlah mereka dengan kasih sayang......

Sunday, December 24, 2006

Dakwah & Cinta (1)


MUQADIMAH

Alhamdulillah, segala puji dan puja bagi Allah jua, selawat dan salam kepada junjungan kita Rasulullah saw dan semua pengikut baginda yang setia dan mengikuti hidayat baginda hingga hari pembalasan.

Al Ikhwatul Imaniah…!

Sesungguhnya persaudaraan yang telah diwujudkan oleh Islam itu adalah yang paling tinggi dari segala-galanya. Kemuncak persaudaraan ini terlaksana dihadapan mata kita (melalui sejarah) terdapat pada diri generasi pertama yang hidup bersama Rasulullah saw. Mereka dididik oleh tangan baginda. Juga, kita dapat melihat kesan-kesan ini pada tiap generasi contoh yang telah dikemukakan oleh Islam.

Adab-adab persaudaraan khas pula mengatasi adab-adab persaudaraan am iaitu termasuklah ziarah, cinta-mencintai, mengutamakan saudaranya lebih dari dirinya sendiri, bersegera menunaikan hajatnya, menyebutkan kebaikan saudaranya, membela kehormatannya tatkala ia aib dan menyembunyikan rahsianya. Tidak bertengkar dengannya, mengampuni kesalahannya, mendoakann baginya semasa hidupnya dan setelah matinya. Setia kepadanya, ikhlas menepati janjinya, tidak menyusahkan dia dan lain-lain adab dan hak.

Saudara Abbas Assissi pernah hidup bersama dengan Ust Hassan Al Banna dan telah menyedut dari mata airnya yang jernih. Satu perkara yang paling tinggi yang menjelma padanya ialah akhlak persaudaraan. Dia ini penuh dengan cinta yang suci murni, DIMANA SAJA DIA PERGI, DISITULAH BELIAU MENYEMAIKAN BENIH CINTANYA. Apabila dia bertemu dengan seorang Al Akh (saudara), beliau menyalakan cahaya cinta dihatinya kerana Allah (swt). Cintanya hangat, menyala-nyala dan bersinar, itulah sifatnya.

_________________________________
Alhamdillah.Ayah bekalkan ana satu bahan tarbiyyah yang amat berharga.Buku Dakwah dan Cinta karangan Mujahid Syeikh Abbas Assissy, satu pendekatan yang indah. Cinta menawan hati manusia. Kasih sayang berbunga dan tidak pernah kontang. Betapa dalam hiruk pikuk kehidupan ini..manusia mendambakan cinta yang sejati...Mudah-mudahan kita sama2 mendapat manfaat. Sedikit ringkasan darinya....