Friday, January 30, 2009

Muwasofat Tarbiyah


Assalamualaikum wrh..

Alhamdulillah..Gembira bertemu Nawal, Munirah, Fatimah dan Munzirah..Sudah lama tak berjumpa. Meskipun sekampus dengan Nawal dan Munirah tetapi kadangkala hambatan masa terhadap waktu-waktu kuliah yang padat tidak memungkinkan untuk kami duduk bersama .Syukur alhamdulillah, Allah menyusun waktu yang lain pula.. Itulah beruntungnya kita sebagai mukmin, di atas apa jua urusan dan penyusunan, kita tidak pernah bimbang kerana kita tahu Allah swt sedang merancang untuk kita. Perancangannya lebih hebat dari perancangan kita kan..?



Hadith Nabi saw“Sungguh pelik urusan orang mukmin, semua perkara baginya baik belaka, Semua ini tidak didapati oleh orang lain kecuali orang-orang mukmin. Kalau dia mendapat kesenangan dia bersyukur itulah yang lebih baik baginya, dan jika dia ditimpa sebarang kemudharatan dia bersabar itulah yang lebih baik baginya..” (Riwayat Imam Muslim) ..

Beruntung..sungguh beruntung MUKMIN itu…



Sahibah-sahibah yang tersayang...



10 Muwassofat Tarbiyah – Kalian sudah hafal ?...sudah hadam betul-betul ..? Sudah bincangkan secara serius..? sudahkah kalian amalkan dalam kehidupan seharian..?



Hm..sama-samalah kita review kembali...



1. Salimul Aqidah - aqidah yang sejahtera

2. Sahihul ibadah - ibadah yang benar

3. Matinul khuluq - akhlak yang mantap/kuat

4. Qadirun alal kasbi – mampu berdikari

5. Mustaqqaful fikri - berwawasan luas

6. Qawiyul jismi - badan dan sehat dan kuat

7. Mujahidul linafsihi – kesungguhan dalam bekerja

8. Munazhzhamun fi syu’unihi – tersusun urusannya

9. Harisyun ala waqtihi –bijak mengurus waktu

10.Nafi’un lighairihi – bermenafaat kepada orang lain



Yea sahibah-sahibahku, jika 10 ciri ini belum dipenuhi, bererti matlamat utama tarbiyah itu belum tercapai sepenuhnya. Ia adalah landasan operasi tarbiyah di mana ia menjadi kayu ukur terhadap kualiti diri kita. Memang benar, ia adalah proses..insya-Allah..paling tidak..biarlah 4 dari ciri-ciri ini telahpun menjadi malaqoh di dalam diri kita..Tak rugi kita berusaha kan..



Kenapa ana menyebutkan tentang 10 ciri ini hari ini..Sedikit sebanyak ana tersentuh dengan kata-kata ummi ana pagi tadi.. =) ..pada ummi ana luahkan kerja-kerja yang bertimbun-timbun..ana bimbang kesibukan ana pada kerja-kerja itu Allah swt tidak kira sebagai kerja untukNya, tetapi sekadar buang masa semata-mata..urm nauzubillah.. kemudian kata ummi, lebih kurang bunyinya- jika anda berkata sedemikian, bererti anda telah melupai 2 dari ciri2 MT ;munazhamun fi syu’unihi dan harisyun alal waqtihi..nah anakku, check kembali di mana slacknya..Allah swt masa memberikan kita masa dan peluang untuk merubah..yg penting, jangan lupa doa sungguh-sungguh kat Allah semoga Allah swt lapangkan segala urusan..

hm..kalian juga pernah mengalaminya seperti ana?..hm jika begitu, barangkali kalian juga boleh mengutip mutiara nasihat dari ummi ana ni..kan? =)



Jazakillah. Ummi anti yaa ruuhi wa-hayati..yaa bahjata nafsi wa munaati..Unsi filhadhiri wal-ati...


Thursday, January 29, 2009

Peperangan belum tamat


Bismillahirahmanirahim...

"..ya Allah..ya Allah..wa yamujri yassahab..wa yahazamal ahzabb, ihzihum ! ihzihum ! ihzihum wan surrna 'alaihim.."

wa syattat kalimatahum wazalzzil aqdamahum ya Allah...ya qahhar..


Assalamualaikum wrh...


Sahabat-sahabat yang dikasihi oleh Allah swt..
Alhamdulillah, marilah sama-sama kita menadah kedua-dua tangan cemar ini memohon keampunan ke hadrat ilahi di atas segala dosa-dosa, kelalaian-kelalaian..keterlanjuran kita..mudah-mudahan Allah swt sentiasa memberikan kita peluang untuk keredhaanNya dan jalan untuk kebaikan. Serta, setinggi-tinggi kesyukuran di atas nikmatNya yang tidak bersempadan..mencurah-curah walaupun balasan yang kita beri kepadaNya seringkali tidak setimpal dengan nikmat yang diberi..terlalu sombongkah kita kepada Allah swt..? Di antara banyak-banyak perkara yang kita miliki hari ini, anggota tubuh badan, kejayaan, kegembiraan, kekayaan, kehidupan yang sempurna, udara, makanan, pakaian, keluarga, rumah..yang mana satukah yang benar-benar milik kita ?...nah, semuanya milik Allah swt..semua sekali tidak ada yang berkecuali..hakikatnya, kita hanyalah makhluk hina yang menumpang di atas kekayaan dan kemurahan Allah swt..subhanallah. Maha suci Allah..yang Maha hebat..

"Ya Allah, tenggelamkanlah kami di dalam lautan cintaMu sehingga tidak ada yang menyibukkan kami dari menyintaiMu..."



Sidang teman yang dikasihi... Episod penderitaan di PALESTIN tidak bernokhtah lagi. Yea, masih berlaku peperangan dan dendam zionis. Meskipun kita diberitahu askar-askar zionis Israel telah keluar dari semenanjung Gaza, tapi seperti catatan Dr.Asmarawati [Dalam siri post yang lalu]...masih terdengar bunyi letupan dan tembakan di sana-sini..Palestin masih belum bebas sepenuhnya..Justeru teman-teman, bagaimana mungkin kita berhenti memboikot sedangkan perang itu belum tamat..? yea sungguh sedih..tidak dapat dibendung lagi. Rata-rata di sekitar ini, Restoran2 Mc Donald dipenuhi kembali dengan orang-orang islam..KFC, PIZZA HUT..barang-barangan zionis dibeli semula kerana peperangan telah tamat..yea itu kata media yang membeli berita dari Amerika, sekutu Zionis..Bagaimana kata saudara kita disana..? Dapatkah kalian bayangkan bagaimana perasaan mereka jika tahu kita bukan setakat tidak membantu, malah mendokong perjuangan zionis. dengan membiayai peluru-peluru mereka.uh..sangat sedih..sedih yang tidak mampu di sembunyikan lagi.. sangat lemahkah masyarakat ini untuk bertahan ..kan? sangat kurangkah kasih sayang mereka pada saudara seislam mereka..?

hm..



teman-teman..
marilah kita mendidik diri kita untuk peka, sensitif


..Sabarlah dalam menahan kehendak yang tidak syari'e..saya teringat kata seorang ustaz yang insya-Allah sangat tsiqah..katanya..melihatkan situasi sekarang, barangkali memang WAJIB untuk kita BOIKOT produk tajaan Israel dan Amerika.


Jelas terang lagi bersuluh..kenapa kita beralasan lagi..?
Teringat pada kata-kata seorang menteri baru-baru ini (Semoga Allah mengampuni..) Lebih kurang bunyinya.. " kenapa rakyat malaysia nak boikot barangan israel dan amerika, sedangkan ekonomi kita bergantung kepada mereka..Janganlah melakukannya lagi..mahukah kalian jika negara kita juga bermusuh dengan Amerika..? Mahukah kita menerima nasib seperti Palestin dsb ?"..

Masya-Allah..

Apa perasaan kalian..?


Ummat islam yang menjaga periuk nasi sendiri barangkali boleh kita namakan buat mereka yang berpandangan begini bukan? Sanggup dia mengeluarkan kata-kata sedemikian. Hubungan baik dengan Musuh Allah swt lebih dijagai, ditimang-timang sedangkan nyawa saudara sendiri dibiarkan. Aduhai..setelah itu, bolehkah kita menerima insan ini sebagai pemimpin umat islam..? ..yea sudahlah. saya terasa marah benar..sukar ditahan-tahan lagi bila bercerita ttgnya..Semoga Allah swt campakkan sekelumit rasa kasih pada saudara seislam ke dalam hati insan itu..mudah-mudahan juga hati yang keras dapat dilembutkan kembali...


teman-teman yang tersayang..


Walaupun kegelapan itu masih panjang menyelubungi dunia islam..tetapi yakinlah kata Ustaz Fathi Yakan..MASA DEPAN itu tetap MILIK ISLAM..kita hanya berusaha tetapi ALLAH swt lah yang memberikan kita KEMENANGAN..insya-Allah..

Wednesday, January 28, 2009

Catatan Ummu Anas- Palestin


Palestin Terus Berdarah?
Sahut Seruah Jihad!
Dalam jihad ada bekalan...

Puteri-puteri Islam sejati!
Srikandi Iman Harapan!
Tangan kalian gagah menggegar dunia!

Wahai seluruh puteri Islam yang ibu kasihi kerana Allah;
Sama-sama kita tumpukan seluruh harapan beserta pergantungan kepada Allah yang tiada Tuhan selain Dia. Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. Yang maha mengampuni dosa dan menerima taubat lagi sangat keras hukumanNya. Hanya kepadaNya kembali semua makhluk.

Selawat dan salam khusus buat arRasul Muhammad s.a.w, para sahabat awwal juga seisi keluarga baginda. Juga seluruh pendokong dan pencinta deen Islam sehingga akhir zaman. Semestinya kita berusaha menyertai rantaian ini sehingga kita dipanggil kembali dalam kedhaan Allah.

Puteri-puteri Harapan!

Sedang kita maklum seluruh dunia digegar satu isu besar! Berlaku penganiayaan besar terhadap jiwa-jiwa yang lemah dan tidak berdosa. Fitrah insan dan sifat keperimanusian sedang tercabar!. Gaza digempur... darah melimpah di bumi Palestin! Api kemarahan umat Islam seluruh dunia meluap dan menyala... Bara perjuangan yang sudah lama terpendam seperti dihembus semanagt jihad... dan mulai marak kembali. Ini satu hakikat yang Allah anugerahkan pada hati-hati yang beriman. Iman itu sendiri mempunyai nyawa yang terpendam. Ia akan bangun dan bertindak apabila terdesak.

Puteri-puteri Islam yang semestinya menggegar dunia!
Hayati setiap patah dari senikata nasyid berikut;

Titisan Darah
(dari album Sinaran Azhar)

Prolog
Ia merintih pilu
Menyaksikan seribu kekejaman
Oleh tangan-tangan durhaka
Tanpa rasa kemanusiaan
Darah yang tumpah
Kematian yang mengerikan
Hanya ditemani airmata
Tanpa apa-apa
Kekejaman itu di sini
Di bumi Palestin
Oleh tangan-tangan durhaka Yahudi
Itulah ratapan dan kepiluan berkumandang
Kematian bermaharajalela.
Titisan darah
Mengalir sayu
Membasah bumi
Mengukir tarikh
Peluru ganas
Mengoyak tubuh
Mencarik daging menembus tulang.

Tangisan bayi dan yatim piatu
Menyayat pilukan hati kami
Ratapan isteri mengiringi
Suami menempah syahid di medan

Mayat bergelimpangan beribu
Bermandi darah tanpa pembelaan
Begitulah airmata
Lantaran menangisi
Nasib dan takdir.

Hai pengkhianat
Ummah yang menyembah diri kepada Yahudi
Mengapa leher kamu serahkan
Kepada musuh yang durjana

Dada kami telah dikoyakkan
Lantaran pembelotan jahatmu
Manakah keadilan sejati
Yang menuntut kezaliman kamu.

Di manakah seruan kebebasan sejagat
Yang dilaungkan
Di manakah hak asasi manusia
Yang telah dimetrikan.

Apakah erti tamaddun
Yang menghisap darah saudara kami
Manakah kebebasan diri
Yang kamu janjikan kepada kami.

Hai durjana
Mengapa bumi suci kami
Yang kamu jajahi
Mengapa kamu sanggup membunuh
Jiwa insan yang tiada berdosa.


Apakah penyembelihan dan keganasan
Kemanisan bagimu
Namun kami akan terus
Memperjuangkan cita-cita yang murni.

Hai saudara seagama
Janganlah kami, kamu lupai
Marilah bersama kami
Menghayati kemanisan jihad ini.

Marilah memikul senjata
Mempertahankan kedaulatan Islam
Hapuskan belenggu penjajahan
Agar dapat kemenangan sejati.

Begitulah puteri-puteriku;
Semua yang digambarkan bukan baru saja berlaku, malah itulah yang terus berlaku setelah sekian lama. Sudah puluhan tahun berulang-ulang, tanpa penyelesaian. Generasi demi generasi rakyat Palestin menjalani hidup dalam kesengsaraan... Sedang kita di sini juga di merata pelusuk bumi Allah yang aman menikmati kesejahteraan dan kemewahan.

Tidakkah kita merasai kita juga sedang diuji?
Hakikat hidup ini, susah maupun senang adalah ujian bertepatan dengan maksud firman Allah;
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa diantara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”.(QS Al-Mulk:2)

Mereka yang terancam dan tertindas, melaung-laung meminta pembelaan...
Kita yang bebas bergembira sepatutnya melaung-laung menyeru kebenaran juga mematahkan kemungkaran yang mengganas dan zalim! Bagaimana kekuatan iman kita? Semak dan laraskan matlamat hidup kita, semata-mata untuk meraih redha Allah. Sekiranya benar begitu, semestinya kita di landasan kebenaran…

Renung dan fahami maksud firman Allah dalam surah Al-Anfaal, ayat 60;
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka, kekuatan apa saja yang kamu sanggupi, yang dengan persiapan itu kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang yang selain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya”.

Kekuatan yang dimaksudkan bukanlah hanya kekuatan senjata, malahan yang utama adalah kekuatan aqidah, kekuatan iman, kekuatan ilmu, kekuatan ekonomi dan harta juga yang terpenting kekuatan kesatuan hati sesama Muslim. Melengkapkan setiap diri muslim mukmin dengan semua kekuatan tersebut bererti kita juga mengumpul bekalan untuk digunakan sepanjang hayat. Dengan ini, secara langsung kita mempersiapkan bekalan jihad. Jihad itu sendiri merupakan satu sumber bekalan yang penting sepanjang hayat. Dengannya setiap muslim hidup di dalam keadaan sentiasa bersiap sedia mematuhi perintah dan arahan. Jihad mengangkat barisan mujahid kepada satu darjat yang tinggi. Mengangkat dari segala bentuk kelemahan, kedukacitaan, kemalasan dan berbagai tipu daya dunia serta desakan nafsu.

Semangat jihad yang diterapkan kepada setiap muslim akan membentuk disiplin yang tinggi, antaranya:

  1. Bersegera tanpa ragu-ragu menyahut perintah menegakkan kebenaran serta mematahkan kebatilan. Serentak dengan menghindari rasa gentar menghadapi sebarang halangan dan rintangan.
  2. Memiliki niat yang bersih dan ikhlas semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah dalam menegakkan kalimah kebenaran Islam.
  3. Rela berkorban tenaga dan jiwa raga untuk menegakkan kebenaran agama Allah demi kebahagian hidup insan dan kemakmuran alam.
  4. Bersungguh-sungguh menepis bisikan syaitan dan desakan nafsu yang cuba menghalangi seruan jihad. Sentiasa menguatkan azam dengan meletakkan setinggi-tinggi tawakkal kepada Allah.
  5. Sentiasa merujuk kepada ayat-ayat Al-Quran yang menekankan tuntutan jihad serta janji-janji syurga Allah di akhirat kelak. Juga sentiasa berdoa memohon pertolongan serta kekuatan dari Allah.
  6. Sentiasa memohon keampunan dari Allah terhadap apa jua dosa, serta memelihara diri dari melakukan sebarang maksiat. Dosa dan maksiat akan menghalangi golongan pejuang dari beroleh kemenangan.
  7. Kesanggupan menyahut seruan jihad menjadi bukti ukhwah dan kasih sayang yang tinggi terhadap sesama saudara muslim tanpa mengira suku bangsa dan warna kulit.

Puteri-puteri Islam Sejati!
Sentiasalah meyakini, sesungguhnya syarat kemenangan yang utama bagi pejuang agama Allah adalah dengan meletakkan seluruh agenda hidup semata menegakkan kebenaran. Juga menghadapi kematian dalam keadaan memperjuangkan kebenaran. Seandainya demikian prinsip hidup kita, Allah akan melontarkan rasa gerun, takut dan gentar ke dalam hati musuh-musuh Islam. Dengan itu mereka memandang hebat dan gentar menentang barisan pejuang Islam. Sejarah perjuangan telah membuktikan, angkatan yang kecil dapat mengalahkan angkatan yang besar dengan izin Allah.

Perhatikan dengan teliti kata-kata seorang pejuang Islam;
“Sesungguhnya zaman akan melahirkan peristiwa yang besar dan peluang akan terbuka untuk membuat kerja yang besar!. Sesungguhnya dunia menunggu seruan kebenaran dari kamu supaya membebaskan bumi ini dari segala penderitaan yang mencengkam. Kini tiba giliran kamu memimpin dan membimbing tangan manusia. Dan hari-hari kemenangan itu akan diberi mengikut kesungguhan masing-masing dari kamu. Oleh itu bersedialah dan bekerjalah sekarang kerana dengan bertangguh-tangguh ke hari esok hanya akan melemahkan kamu”.

Justru itu puteri-puteri harapan, setiap seorang dari kita mempunyai keupayaan dan peranan masing-masing dalam meniupkan semangat pejuangan demi tertegaknya kebenaran hakiki dan tertunainya hak asasi setiap manusia di bumi milik mereka. Dari kejauhan ini kita pohonkan hidayah Allah semoga kita tidak terkecuali dari barisan yang berjuang…
“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seperti mereka satu bangunan yang tersusun kukuh”.(QS As-Saaf:4)

Sama-sama kita tangguhkan dengan doa;
“Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban seruanMu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulatkan dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepadaMu. Jika ditakdirkan kematian, matikan pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agamaMu.Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah permintaan ini”.

Wassalam.
Ummu Anas.
Ibu yang sentiasa mendoakan ketaqwaan kalian.

Tuesday, January 27, 2009

Situasi di GAZA tidak menentu..


Laporan Dr Asmarawati Md Yatim
Pakar Anaesthesiology
Doktor HALUAN di Gaza

GAZA - Letupan bom kali kedua pada hari Selasa 0230hrs tiba-tiba memutuskan bekalan air di hospital kami bertugas. Kami yang sedang melakukan pembedahan di European Gaza Hospital cemas bukan kerana takut dibom tetapi bimbang dengan nasib pesakit-pesakit kami. Kami hanya mampu berdoa agar pembedahan dan rawatan mereka tidak terjejas. Hati kecil ini terdetik juga - manalah tahu, mungkin syahid saja di sini kerana jelas dentuman bom tadi terdengar macam dekat sekali.

Suasana di Gaza masih di hujung tanduk. Setiap anak jati Palestin di Gaza seolah-olah pasrah dengan dengan takdir yang menimpa mereka tetapi tetap teguh dengan komitmen jihad mereka yang tinggi. Mereka sangat-sangat menyantuni para pekerja medikal yang mencurah tiba untuk membantu. Namun di sebalik keceriaan wajah mereka, terselit juga kesayuan nun di bola mata kerana mungkin saudara tersayang telahpun kembali kepada Penciptanya. Cara mengatasi kesedihan itu adalah dengan meneruskan jihad mempertahankan Deen dan watan mereka.

Ini bukan kali pertama saya di medan bencana. Bukan kali pertama saya melihat manusia meratap kerana kesedihan yang amat sangat setelah kehilangan orang yang disayangi, dan harta-benda dan rumah tangga yang punah ranap. Tetapi ketibaan saya buat kali pertama di Gaza ini menjadi kejutan yang amat sangat dek kemusnahan dahsyat yang tergamak dilakukan oleh sebuah negara berkuasa besar Israel ke atas sebuah semenanjung pipis bernama Gaza yang rakyatnya hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ibarat gajah membunuh nyamuk. Bacul sungguh Yahudi rupanya.

Saya dan pasukan doktor daripada Mercy Malaysia berjaya membolosi sempadan Mesir-Israel setelah lebih 48 jam menantikan kebenaran pihak tentera sempadan Mesir yang amat mencemburui siapa yang bakal melintasi masuk ke daerah Gaza. Ribuan relawan daripada pelbagai negara telah menunggu. Kami mempunyai segala dokumen yang lengkap berserta surat diplomatik tetapi itupun bukan jaminan bila kita berada di medan peperangan. Sesampai di Gaza, saya terus bersyukur ke hadrat Illahi kerana akhirnya tiba juga di medan amal yang saya impi-impikan selama ini. Saya terus ditempatkan di Shahid Najar Hospital di mana kami melakukan kerja-kerja rawatan kepada pesakit dan menjalankan pembedahan. Terdapat ramai doktor di situ - Arab, Eropah dan Asia.

Keadaan di Gaza amat tegang walaupun tentera Israel sudahpun berundur sepenuhnya. Hamas mahu semua sempadannya dengan Israel dan Mesir dibuka sepenuhnya agar bantuan kemanusiaan dapat masuk tetapi tidak mahu mengiktiraf rejim zionis itu. Ini membuakkan kemarahan kaum penjajah Yahudi itu. Kelmarin, dua rakyat Palestin ditembak mati dari jarak jauh oleh sniper Yahudi. Penduduk Gaza, walaupun hidup di bawah tekanan dan dalam keadaan ketakutan, tetap tabah menghadapi dugaan harian sebegini. Inilah yang mengkagumkan saya. Dalam bahasa Inggeris, saya “extremely amazed” dengan ketabahan mereka bertahan sebegini bertahun lamanya.

Saya bersyukur kerana masih ada bekalan air dan elektrik yang mengalir di sesetengah zon operasi menyelamat kami. Tidak dinafikan bahawa bekalan perubatan ada yang terputus ataupun terhad. Begitu juga dengan peralatan bantuan perubatan. Namun ianya tidaklah begitu serius. Ada yang musnah dan ada yang rosak tidak berganti. Namun para doktor Palestin di sini tidak pernah mengeluh malah riak wajah mereka bagaikan meraikan kedatangan kami, doktor-doktor Muslim lain, ke jazirah tanah tumpah darah mereka.

Salam saya kepada semua sahabat dan rakan di Malaysia. Doakan Gaza dan rakyatnya agar dimenangkan Allah SWT dunia dan akhirat.

HaluanPalestin - Berita selanjutnya...

Monday, January 19, 2009

Maryam Jameelah yang dikasihi...


Bismillahirahmanirahim...

Alhamdulillah. Bertemu lagi kita di taman ini. Perkebunan yang terus-menerus tanpa kenal erti penat dan lelah. Menanam dan terus menanam..Hasilnya mungkin tak seberapa..mungkin lambat dan terpaksa menunggu lama..namun, itu sedikit pun tidak melemahkan semangat kita..malahan kita yakin insya-Allah..kita berjuang dan berusaha..tetapi Allah yang memberikan kita kejayaan dan kemenangan. Biiznillah...


Syukur sangat-sangat...

sahabat-sahabat sekalian masih setia disini..meskipun kadangkala kebun ini kesepian juga lantaran hambatan realiti tugas sebagai Hamba Allah, isteri, pelajar dsb..Insya-Allah, ana cuba perbaiki akhlak ana pada kalian, juga pada kebun ini. Yelah..kataorang bila kita mengikat hubungan kita atas nama persahabatan, kita wajib menunaikan hak-hak sahabat kita. Iman dan ukhuwah adalah perkara yang paling penting dalam fasa kehidupan kita sbg para pekerja Allah swt..Paling minimum dalam ukhuwah adalah berbaik sangka [husnu zon] dan paling maksimum adalah melebihkan keutamaan sahabat berbanding keutamaan sendiri [itsar]...insya-Allah, percayalah..dari keikhlasan itu akan lahir kasih yang tulus...


Maryam jameelah yang dikasihi....


Tiada siapa yang tahu kita mengenalinya disini sebagai MARYAM JAMEELAH..biarlah ia kekal menjadi rahsia dalam doa kita..ana melihat dirinya seorang yang mempunyai potensi yang cukup besar buat islam sekiranya rawasib-rawasib yang ada kini, digilap dan dibasuh sebersih-bersihnya. Masakan tidak teman-teman.. dia mempunyai pemikiran yang telus tentang sesuatu, ada keberanian, ada kesungguhan..ada keazaman yang kuat, mempunyai pengaruh dan sangat penyabar. Barangkali dia lebih baik dari diri ini. ini yang ana rasakan...



Semester baru...



Kali ini, ana lihatkan beberapa perubahan pada dirinya. Ada yang lebih baik dari masa lalu..tetapi ada juga yang kurang ana senangi..Apa yang baiknya kali ni, rambut cantik dia tu tinggal tidak berwarna lagi. Alhamdulillah. ini kesungguhan yang paling ana tsiqah padanya. kalau kalian kenal dia..hm..kalian juga ttu akan gembira hanya untuk perkara ini...kemudian ana lihat kukunya sudah bersih, tiada lagi pewarna2, lukisan2 dsb..telinga, hidung juga sudah tidak bertindik disana-sini..patern pakaian juga berubah wajah..hm.cuma tinggal lagi dia masih kurang percaya bahawa islam melandaskan kita supaya menutup aurat dan tidak sekadar mendirikan solat semata-mata...nah, dia ada hujah yang tersendiri..biarkan saja kan..hm bagaimana pandangan kalian?..ana percaya, masa akan membuatkan dia lebih bebas berfikir dan menilai. tidak ada lansung persamaan di antara mereka yang mentaati perintah Allah swt dengan mereka yang mengengkarinya...



Proses didikan itu memerlukan kepada kesabaran. Masa adalah separuh dari rawatan...oleh itu, bersabarlah sedikit dengan masa...dalam perkara-perkara tertentu, kita tidak perlulah gopoh dan mengejar masa. Ada sesetengahnya kita perlu lepaskan dia buat seketika..Biarkan saja ia berlalu..jika hati dia berhajat pada kebaikan, insya-Allah dia tentu akan kembali pada kita. Ana teringat kata seorang cendikiawan barat..dia kata.. "memberikan seseorang masanya sendiri adalah pengiktirafan kepada kebebasannya.."
..


Teman-temanku tersayang..


Ana baru saja beli buku UMMU ANAS..'Anak-anakku, Bangunlah'..
Subhanallah.best sangat2.

Kalian usahalah untuk mendapatkannya yea..Buku ini insya-Allah benar-benar mengetuk jiwa dan membangkitkan iltizam kita..kadangkala juga seperti berada dalam pangkuan dan pujukan seorang ibu..Disaat berjauhan dengan ibu kita, bila baca saja buku tu..ha insya-Allah..terasa kembali ke sisi ibu, bersama harapan-harapannya..


Insya-Allah..akhirul kalam..beberapa intisari yang boleh kita kongsi bersama;

1. Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan iman buat kita dan seluruh ummat islam. ghalibnya yang berlaku..ummat islam lemah kerana iman dan jiwa umat islam terpisah secara total..tidak ada kesinambungan di antara keduanya.


2. Bersabarlah sedikit apabila kita berhadapan dengan teman2 yang nak kita seru kepada islam. Mungkin mereka banyak karenahnya, banyak soalnya, banyak takwilan2nya..barangkali juga dia berambut merah..mungkin berseluar ketat ..dsb..biarkan sajalah yea..kita tidak berhajat kepada luarannya..tetapi kita berhajat kepada HATInya..Hati adalah sasaran utama tarbiyah.



3. Berusahalah..kalau tak banyak pun, paling tidak ..sedikit..utk kita mencari hati-hati yang nak kepada islam. jangan kita menghukum seseorang itu tidak layak..berilah hak mereka seadilnya. Kita yang harus berkerja..kerana jika kita tidak bergerak maka dakwah itu tidak akan berjalan...


Semoga Allah swt merahmati kita dan menaungi kita di dalam lautan kasih sayangNya..amien.

Thursday, January 15, 2009

Keimanan kepada Allah swt..


Assalamualaikum wrh...
teman-teman yang dikasihi..kaifahalukum al-an?..
semoga sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah swt dalam kerja-kerja mentaatinya..mudah-mudahan kita istiqamah di atas usaha yang berdikit-dikit ini..Sikit-sikit tak mengapa, asalkan berterusan....


Mencari titik-titik keimanan dalam suasana hari ini, tidaklah senang. banyak yang perlu ditapis..pancaindera juga banyak yang perlu dijaga. Mata, telinga, mulut..etc. Mata yang kita hajati..yang hanya melihat perkara-perkara yang baik..telinga yang kita hajati, yang hanya mendengar perkataan-perkataan yang baik..Mulut yang kita hajati..yang hanya menuturkan kata-kata yang baik dan indah..yang menyejukkan hati-hati yang mendengar..agar dengan pancaindera ini, imankan terpelihara dan meningkat..percaya atau tidak, pancaindera yang Allah swt berikan kepada kita ini juga boleh menjadi punca keimanan kita rosak..nah, jika ia digunakan pada perkara yang dilarang oleh Allah swt, maka jadilah ia pancaindera yang tidak bermanfaat. rugilah pemiliknya.....


Keimanan....
Bagaimana keimanan kita kepada Allah swt... dalam perbincangan circle baru-baru ini, kakak menyebut tentang keimanan kepada Allah adalah hubungan yang pertama di antara lainnya.


yea teman-teman...
sebut tentang iman, agaknya..apa yang kita tahu dan faham tentang iman....?
mcmn kita nak kenal iman kepada Allah..?
fikir sedalam-dalamnya...
fikir jauh-jauh...
berilah jawapan kepada diri kita sendiri..
APA SEBENARNYA IMAN....

benar, susah benar kita mahu menjawabnya. adakah iman itu dengan keyakinan di dalam hati shj..? atau iman itu ckup dgn melafazkan kata-kata...?..atau iman itu boleh dikenal melalui amalan...? justeru, bagaimana teman-teman....dapatkah kalian menyimpulkan sebuah jawapan untuk soalan ini....?


Pelbagai jawapan...

Ana tertarik pada kata-kata seorang sahabat, katanya...Iman itu adalah ujian. bagaimana kita nak tahu keimanan kita kepada Allah swt, dengan cara kita melihat bagaimana kita berhadapan dengan sesuatu ujian itu..Adakah setelah ujian itu kita merasa lebih yakin dan tsiqah terhadap Allah..? ataukah kita merasa sebaliknya... kalau kita marah dan tidak sabar pada ujian Allah, ha kena check balikla mcmn hubungan kita dengan Allah..


hem..padahal ujian-ujian yang kita lalui hari ini, sedikit pun tak sekuat ujian yang dihadapi oleh generasi awal dulu. Ujian yang mereka depani perlu dibayar dengan nyawa dan darah. tetapi kita pula...bila kadang2 kita digelar budak alim, budak skema, nak tunjuk pandai dan mcm2 lagi kata2 orang, kita dah tergugah dan putus asa..padahal ujian itu sedikit pun tidak mencederakan kita..jadi, bagaimana kita ingin mengakui bahawa kita ni beriman..? hm janganlah begitu... biarkan saja mereka.. kalau mereka nak labelkan kita dengan pelbagai nama...biarlah..itu tandanya mereka yang bermasalah.. kan..

Sesungguhnya..
ujian itu kerana Allah swt nak perlihatkan titik2 kelemahan kita.. Allah swt nak tunjukkan kepada kita bahawa iman itu adalah suatu proses yang panjang..nak bina keimanan, kena ikhlaskan hati. kalau tak ikhlas, tak pergi kemana. mungkin di depan orang, kita boleh pertontonkan kebaikan, kewarakan kita, tetapi depan Allah...apa yang kita nak tunjukkan..?


Adakah kita mahu sepanjang hidup kita..kita buat kerja-kerja islam sehingga akhir hayat, tapi bila kembali kepada Allah swt..Allah campak amalan-amalan kita..kerana kerja itu tidak berasaskan iman yang sebenar kepada Allah..nauzubillah..inikah yang kita mahu..? Iman itu suci dan ia tidak akan tumbuh dan bercambah di dalam hati yang kotor..

Justeru, marilah kita bersegera membersihkan hati...

Begitulah teman-teman...
Hati yang beriman itu melaksanakan tuntutan dengan penuh ketenangan dan rasa tanggungjawab. Iman kepada Allah itu bukan sekadar kata-kata, bukan sekadar angan-angan atau khayalan..tetapi ia adalah suatu perasaan..satu perasaan yang nak kena kita rasa dalam jiwa dan urat nadi kita dan kita terjemahkan perasaan itu dalam bentuk tindakan...insya-Allah..
Iman menjadi pencetus segala rasa.... kan?...

Marilah kita perbaharui keimanan kepada Allah swt..
perbaharui dan selalu perbaharui...tidak jemu2.. mudah-mudahan Allah swt merahmati kita..insya-Allah

Sunday, January 11, 2009

selingan [Bekerja]


.....

Hari ini, akhi oncall lagi.. di hujung minggu dia berkerja, bertungkus lumus ..demi sebuah harapan. Itulah pengorbanan. Berkorban untuk merealisasikan harapan orang lain..Subhanallah..bagi ana tiada kerja yang lebih mulia dari ini..

yea mungkin, banyak orang juga berkorban untuk ini. Terpaksa kerana tuntutan kerja. Ada yang Ikhlas, ada juga yang sebaliknya. Biarkan saja mereka.. yang penting, kita berkerja di atas tuntutan deen. Islam yang nak kita berkecimpung dalam bidang ini dan menguasainya..


Melihatkan kesungguhan dan kesabarannya...
ana doakan semoga Allah swt melimpahkan rahmat dan keberkatan ke atas dirinya...
Insya-Allah, kita juga yakin..dengan rahmat dan keberkatan itu, insan yang dikasihi akan terus dinaungi..


hm.. apa ye nak tulis lagi....

Sebenarnya, bila 'dia' tiada di sini..ana terasa murung sedikit..

Begitulah..Cinta dan kasih sayang itu adalah hadiah dari Allah swt..
...

Thursday, January 08, 2009

Kenyataan Mursyidul Am IM


Di petik : HaluanPalestin


Kenyataan Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Ustaz Mahdi Akef tentang apa yang sedang berlaku di Gaza.

Dengan Nama Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah saw dan mereka yang berwalak kepada-Nya.

Firman Allah swt bermaksud, “Allah menetapkan, ‘Sungguh Aku akan memenangkan (agama) Aku dan Rasul-rasulKu. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa” (Al-Mujadalah:21). “Sesungguhnya Kami akan memenangkan Rasul-rasul Kami dalam kehidupan di dunia dan di hari dibangkitkan saksi-saksi” (Ghafir:51). Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Akan terus dari umatku mereka yang terang-terang atas kebenaran. Tidak akan memudharatkan mereka oleh orang-orang yang memusuhi mereka sehingga datang ketetapan Allah, sedang mereka dalam keadaan sedemikian’. Sahabat bertanya, ‘Dimanakah mereka’. Rasulullah saw menjawab, ‘Mereka di Jerusalem dan disekeliling Jerusalem (Palestin)’.


Wahai pendokong Dakwah ini ! Wahai mereka yang bersiap siaga di Palestin ! Wahai mereka yang di kepung di Gaza dan di Al-Khalil (Hebron) !


Setiap fasa ada kemenangan. Bila semakin sengit kezaliman dan kuat kepungan yang zalim dan semakin kuat cengkaman musuh dari kalangan bangsa sendiri terhadap pejuang-pejuang Islam, maka kezaliman sanak saudara lebih perit dirasakan ke atas jiwa kita, maka sesungguhnya kemenangan di fasa itu adalah berpegang teguh dengan Prinsip, tidak mengalah untuk mendapatkan Hak-hak, membuat persiapan untuk fasa berikutnya. Kemenangan itu juga adalah kita menang mengatasi jiwa agar tidak menjadi lemah, azam tidak mengendur, bisikan Syaitan dan perbuatan orang-orang munafik.


Imam Al-Banna berkata tentang erti Tsabat, ‘Berterusan akh itu bekerja dan berjihad di jalan mencapai matlamatnya, walau sepanjang mana tempoh dan silih berganti tahun demi tahun, hingga dia bertemu Allah dalam keadaan demikian dan dia telah menang dengan mendapat salah satu dari dua Kebaikan, samada Matlamat tersebut atau Mati Syahid di peghujungnya. Firman Allah swt bermaksud, “Dari kalangan orang-orang beriman terdapat mereka yang benar janji mereka kepada Allah. Dari kalangan mereka ada yang telah Syahid. Dan sebahagian lagi masih menunggu dan mereka tidak menrubah sedikitpun janji mereka itu” (Al-Ahzab:23). Pada kita, waktu adalah sebahagian dari rawatan (penyakit diri dan umat ini). Jalan ini panjang tempohnya, jauh fasa-fasanya, banyak halangan-halangannya, akan tetapi itulah satu-satunya Jalan yang mnyampaikan kepada apa yang dituju, disamping beroleh pulangan yang besar dan pahala yang indah.


Ya, wahai pendokong Dakwah di Palestin, bahkan dengarlah wahai semua penduduk dunia ini !


Bukan resolusi-resolusi Persidangan Anapolis atau PBB, bukan juga sidang-sidang damai bersiri demi siri, bukan juga janji-janji palsu dan ancaman yang berterusan. Buka semua itu atau seumpamanya yang akan mengembalikan hak-hak dan menamatkan Penjajahan.


Hak-hak kita akan dikembalikan, musuh-musuh kita akan terpaksa mendengar permintaan kita hingga mereka keluar dari negeri kita atau duduk dalam sidang yang serius yang boleh mewajibkan mereka mengembalikan hak-hak kita, hanyalah melalui Penentangan semata-mata, Jihad yang berterusan, berpegang teguh dengan Prinsip-prinsip, perpaduan dalam tanahair, menghidupkan ruh Penentangan dan perasaan yang tinggi, cinta kepada Syahid dijalan Allah dan tidak takut kepada mati.


Wahai para mujahid Gerakan HAMAS,


Sesungguhnya kamu telah menyambut panji-panji Jihad Penentangan terhadap Penjajahan dari generasi terdahulu. Kami telah mengibarkan panji-panji “Syahid atau Menang”. Kamu telah menyumbang para Syuhadak demi para Syuhadak yang diberkati. Betapa pemurahnya kamu menyumbangkan ribuan yang disumbat ke dalam penjara, ribuan yang menjadi luka dan cacat, ribuan janda dan anak yatim. Apabila perasaan lemah dan Wahan (cinta dunia dan takut mati - Hadis) menyelinap masuk ke dalam jiwa orang-orang yang terdahulu dari kamu di jalan Penentangan ini (mereka dulunya berjuang, kini bersekongkol dengan Amerika dan Israel - pent.),..

Kini kamu wahai HAMAS,

sehingga ke saat ini, menjadi batu pejal yang menghempap yang memusnahkan angan-angan Penceroboh, Perampas tanah dan Penjajah. Sejak 20 tahun lalu, gerakan mu tersebar di seluruh Gaza yang diberkati, Tebing Barat yang dipenuhi Jihad dan di pelusuk Palestin, dengan mengangkat panji-panji Intifadhah (kebangkitan) bersama-sama mereka yang bangkit, dan panji-panji Penentangan bersama-sama mereka yang menentang. Kamu dapat memastikan kesemua kumpulan di Palestin bernaung di bawah panji-panji Jihad dan bertarung dengan Musuh yang jahat lagi kotor, yang berusaha sepenuh tenaga untuk memecahkan kesatuan barisan rakyat Palestin. Malangnya musuh berjaya dalam banyak aspek dimana dikalangan sebahagian pemimpin Palestin ada yang menyifatkan usaha-usaha Penentangan sebagai sia-sia, Jihad dengan gambaran yang jelek yang Musuh-musuh sendiri tak tergamak untuk menyebutnya.

Ya, musuh telah berjaya membunuh simbol perjuangan Palestin .... (Selanjutnya...)

Pejuang Palestin..



Pesanan isteri as-syaheed jamal mansor..

Saya ingin memberitahu mereka apa yang telah dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran:

'Bersabarlah kamu dan sabarlah melawan musuhmu dan berjagalah dan takutlah kepada Allah','Sabar itu kunci kepada syurga' dan ingatlah sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan'.


Jadilah orang yang siqah (percaya) sepenuhnya kepada Allah dan Allah tidak akan membiarkan orang-orang yang zalim. Firman Allah 14:42 : Janganlah engkau mengira bahawa Allah itu lalai dari apa-apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim, Hanya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang terbuka semua pemandangan pada hari itu. Sedang mereka bersegera lagi menengadah kepala mereka (arah kelangit) tidak mengejap mata mereka sedang hati mereka kosong (tidak mengerti).
Ingin saya katakan kepada mereka: Jika kalian merasa penat dan sakit, ketahuilah bahawa balasan kalian adalah syurga Allah dan para syuhada' ..kita adalah di dalam syurga tetapi Yahudi yang terbunuh itu adalah di dalam neraka.


Firman Allah 4:104 : Jika kalian merasa kesakitan mereka juga merasakan kesakitan. Sedangkan kalian mengharapkan Allah dan mereka tidak.

Jadikanlah motto hidup kita ini sebagaimana ungkapan sebuah syair:

Kamu bunuhlah aku, koyakkanlah jasadku dan tenggelamkanlah aku di dalam darahku,Namun, kalian tidak akan mampu hidup di atas bumiku dan kalian tidak kan mampu terbang dilangitku.


Palestin dan Semangat Ummah



Bismillahirahmanirahim.. Alhamdulillahirabbil 'alamin..


Dikeheningan pagi yang indah ini, marilah sama-sama kita menadah tangan..memohonkan bantuan dan perlindungan secara lansung dari Allah swt ke atas saudara-saudara kita di PALESTIN..Kita memohonkan kekuatan buat pejuang HAMAS....dan kehancuran terhadap tentera-tentera KUFFAR..


Dari manakah kekuatan itu datang jika bukan dari Allah swt ?


Dari manakah bantuan itu datang jika bukan dari Allah swt ?


PROLOG :

Disuatu ketika dulu bumi ini menjadi Qiblat pertama ummat Islam..Bumi yang dimuliakan oleh Allah swt..yang menyimpan khazanah tamadun ummah ini..Bumi ini yang menyaksikan peristiwa Rasulullah saw di Mikraj kan ke langit... Bumi ini adalah milik orang-orang Islam. Sehinggalah usaha-usaha yahudi Laknatullah menawan bumi ini yang menjadi darah daging ummat islam. Setiap hari, saat dan ketika.. Saudara-saudara kita dibunuh, ditembak dan diletupkan.. mereka di tindas dan dihancurkan.. Proses ethnic cleaning yang dulunya pernah menyaksikan musnahnya generasi di perkampungan Shabra dan Shatila... Adakah kita akan biarkan ini berlaku di Sempadan Gaza ? ekonomi, perubatan, eletrik, bekalan minyak, makanan dan bantuan pakaian di sekat.... di manakah sensitiviti kita ? Sebagai manusia..sebagai satu ummah...



Teman-teman yang tersayang...


Pilu..
sedih..

sayu..
gundah..

dukacita..


Pelbagai-bagai perasaan yang kita rasa di saat ini.. Tidak sanggup lagi rasanya melihatkan visual2 pembunuhan umat islam palestin. Hati kita bagai dicarik-carik..hancur luluh... Kanak-kanak di bunuh tanpa sebarang kompromi.. Wanita, orang tua..Semua sekali diletupkan.. Zionis dan Israel laknatullah terus hidup di atas sumbangan kita..



Untuk itu teman-teman, inilah yang kita lakukan bersama.. BOIKOT segala jenis produk dan perniagaan mereka. Agar lumpuh ekonomi mereka.. Boikot sungguh-sungguh.. Tunjukkan kebencian kita pada mereka.. kali ini, kebencian kita bukan sekadar benci saja-saja malahan kita buktikan pada mereka, kebencian ini tidak boleh di kompromi lagi. Tiada tolak ansur.. Tiada simpati untuk ummat yang dilaknati itu.. Marilah kita usaha, cari maklumat-maklumat tentang produk apa yang di dalangi oleh YAHUDI.. cukuplah selama ini kita menyumbang tanpa sedar.


Dr.Yusuf Al-Qardhawi - " Satu sen kita membeli barangan mereka sama seperti kita menyumbang sebutir peluru ke tubuh saudara kita di palestin..."


yea teman-teman,

jangan lupa juga...ambillah peranan kita sebagai aktivis yang rancak memberi kesedaran kepada kawan-kawan di sekeliling kita utk sama-sama memboikot barangan Yahudi. Ceritakan pada kawan-kawan, jiran dan sesiapa saja yang kita kenali..apa yang sedang berlaku di Bumi palestin.. Inilah peranan kita. Pemuda yang sedar apa tanggungjawab yang sedang kita galas. Agar dengan usaha kecil itu, kita mampu mengajak orang lain untuk turut serta...

Insya-Allah..bagaimanapun kita mengetahui, yakinlah..Allah lebih tahu apa yang berlaku. Adakah setelah kekejaman dan kezaliman ini berlaku..mereka merasakan bahawa Allah itu lemah dan tidak mampu menyaingi mereka..? tentulah tidak..Sesungguhnya Allah swt lah yang maha kuat dan gagah sedangkan merekalah yang lemah dan sentiasa berada di dalam kebebalan mereka...

-Nurtaqwa08-


Tuesday, January 06, 2009

Sejenak..

Assalamualaikum wrh..

sudah lama tidak ketemu..bagaimana keadaan dan kesihatan kalian teman-teman di sini?
semoga Allah swt sentiasa mengikat hati-hati kita..agar kita merasa tenang dan damai bila bersama..Inilah ukhuwah yang didamba-dambakan..

Alhamdulillah.kuliah telah bermula.sudah lama tidak merasa penat seperti ini. yea penat menimba ilmu memang manis. lebih manis dan lazat dari rasa epal yang masak ranum. Terasa kepuasannya bila kita rasa ilmu itu sememangnya milik kita, khazanah lampau umat islam..kan?..semoga kita terus gigih dan bersungguh-sungguh..istimewa, sungguh istimewa..masakan tidak, kumpul harta..harta akan habis..tetapi kumpul ilmu..adakah ia akan habis ? ...

Palestin..sungguh menyayat hati. Perasaan ini sungguh-sungguh gundah gulana...Apa yang mesti kita lakukan?...

teman2 yang di kasihi..
Insya-ALlah, beberapa waktu lagi, kita sambung lagi yea..saya masih lagi ingin mencatat beberapa perkara, namun hampir saja terlupa, beberapa hak terhadap Allah masih belum dipenuhi...doakan saya yea...